Pandangannya sedikit pun tidak beralih pada hamparan laut di hadapan. Matanya terus memandang dengan jiwa yang kosong. Kedengaran desiran ombak kecil yang menghempaskan diri ke pantai sambil bertemankan keriuhan suara tetamu-tetamu sang laut. Bibirnya menguntum senyuman kecil tatkala terpandang anak lelaki kecil yang sibuk mengutip anak-anak siput di sekitar pantai.
Berdiri di sebelahnya seorang lelaki yang mengekori setiap langkah anak kecil di hadapannya. Mungkinkah ayahnya? Tapi masakan terlalu muda? Mungkin juga abang kepada anak comel itu? Mungkin...
Ah, tidak semena-mena tangisan membasahi wajah Cahaya. Lantas pandangan dijatuhkan pada perutnya yang ditutupi baju labuh, kian membesar setiap waktu. Tidak berayah, tiada siapa, kecuali Cahaya yang putus asa. Airmatanya mengalir deras, jantungnya berdegup kencang. Kakinya lantas mengorak langkah dan terus mara setapak demi setapak.
"Adi, you dah janji nak kahwin dengan I ? Takkan you nak biar I macam ni?"
"Hey perempuan.. aku nak letak muka aku kat mana kalau aku kahwin dengan kau? Entah-entah dia bukan anak aku.. entah jantan mana punya pasal aku pula jadi mangsa."
"Sumpah Adi, I tak pernah buat kat orang lain. Apa ni? Mana janji-janji you selama ni? Gara-gara you, I pregnant sampai dibuang keluarga. Gara-gara I cintakan you lah I jadi macam ni."
"Oh... kau ingat bila keluarga kau dah buang kau, kau boleh suka-suka tinggal dengan aku?Sorry... aku pun tak nak nasib sama dengan kau.. aku masih muda lah Cahaya. Takkan aku nak jaga anak pulak?"
"So, you memang tak cintakan I lah? Selama ni you just main-mainkan I?"
"Bukannya masalah aku... kau yang terlalu percaya sangat. Dasar perempuan murah."
"Apa you kata? Eh,Adi...sedarlah diri sikit, kalau you kata I perempuan murahan, you pun lelaki murahan, takde beza."
"Baguslah kalau kau dah kata macam tu.. sebab lelaki yang kau kata murahan ni langsung takde hati kat perempuan murahan macam kau. Sekarang baik kau pergi mampus dengan anak sialan kau tu."
"You yang bawa sial kat I. Kurang ajar punya jantan. You dah musnahkan hidup I. Bodoh!"
Kereta dipacu laju dan meninggalkan Cahaya yang terkulai dengan seribu tangisan. Peristiwa yang baru beberapa jam berlalu, masih terasa bahangnya dalam jiwa. Gejolak dalam hatinya tiada siapa yang peduli. Papa?Mama?Ah...semuanya meninggalkannya terkapai-kapai lemas dalam luka yang ditanggungnya. Penyesalan yang kini memakan dirinya. Kini, hanya ditemani denyutan bayi yang tidak diminta hadirnya.
Langkahnya terus mara melangkah setapak ke hadapan, ditemani bayi hasil daripada taburan janji cinta palsu lelaki hipokrit. Mara setapak lagi dan kini air mula membasahi separuh betisnya. Tangisan dan sedu terus mengiringi aturan langkahnya . Semakin lama jasadnya dibasahi air mata dan menenggelami lebih separuh tubuhnya. Nyawanya kini bagai tiada nilai. Kini yang ada di sudut jiwa dan fikiran hanyalah mahu menemui kematian. Biar laut menjadi saksi kedukaan sang pencinta yang berdosa. Biarlah laut melemaskan jasadnya sebagaimana cinta melemaskan seluruh jiwanya. Cahaya memejamkan mata.
Tiba-tiba tubuhnya disentap dari belakang dan ditarik keluar dari isi lautan, tidak semena-mena dia terbaring di tepi pantai. Cahaya bernafas tercungap-cungap. Sementara lelaki yang basah kuyup dihadapannya memandangnya dengan pandangan tajam. Titisan air dari rambutnya masih menitis dan jasadnya benar-benar bermandikan air laut petang itu. Kenapa saat-saat dia mahu membunuh diri pun masih ada halangan yang menerpa?
"Awak, banyak lagi cara lain nak selesaikan masalah, tapi bukan dengan cara ni. Awak patut fikir kesihatan bayi dalam kandungan awak tu. Jangan kerana kebodohan awak, anak yang tak bersalah pun menanggung sama."
Suara yang dilontarkan dari bibir pemuda itu menambahkan lagi hirisan luka dalam jiwanya. Jeritannya yang berbaur kemarahan tetapi masih berlapiskan kesedaran.
"Senanglah awak cakap, bukan awak yang menanggungnya. Saya yang rasa, saya yang merasai kesakitan ni, saya dah tak ada sesiapa lagi, jadi apa bezanya kalau mati sekalipun?" Bentakku melontarkan rasa yang terpendam di hati. Perkataan 'mati' itu sengaja ditekankan sebutannya.
"Ya...saya faham. Saya tak rasa semua kesakitan awak, tapi saya dapat rasakan kesedihan anak yang awak kandung tu. Allah dah berikan dia nadi dan kasih sayang dari awak, tapi ibunya sendiri yang ingin membunuhnya. Anak mana yang mampu terima semua tu? Awak silap kalau awak rasa mati lebih baik."
"Huh...awak ingat saya kisah semua tu? Pergi jahanamlah ceramah awak tu."
"Saudari, saya tiada niat sedikit pun nak menzalimi saudari, niat saya cuma nak membantu. Seandainya awak menolak niat baik saya, sekurang-kurangnya benarkan anak dalam kandungan tu menerimanya. Itu saja saya mahukan daripada awak."
"Kenapa awak ambil peduli dengan anak dalam kandungan ni? Awak bukan ayahnya. Ayahnya sendiri tidak mengaku, apa lagi orang luar yang baru saya kenali? Lagipun, untuk pengetahuan awak...bayi dalam kandungan ni anak yang akan lahir tanpa perkahwinan yang sah. Orang kata anak haram. Melahirkan anak ni samalah menambahkan lagi kedukaan kepada anak ni."
"Anak dalam kandungan tu tak bersalah. Anak tu tetap lahir dalam keadaan suci. Bertaubatlah saudari, Allah masih memberi kasih sayangnya dengan memberikan awak nyawa untuk terus hidup dan nafas untuk terus kekal dalam dunia yang sementara ni. Saya peduli anak tu sebab..."
Katanya terhenti di situ. Cahaya mengangkat kening meminta kata-kata lelaki itu diteruskan. Dia mula meragui keikhlasan lelaki dihadapannya. Malangnya, ketika itu muncul kelibat budak lelaki comel tadi menerpa ke arah lelaki itu dan memegang erat tangannya. Mata budak itu merenung Cahaya. Renungan yang menghantar rasa sebak di ruang hati Cahaya.
"Abang tak nak ajak kakak ni balik sama ke? Kesian dia bang...jom la kita balik, nanti umi marah pula."
Gesa budak itu sambil terus menarik tangan Cahaya. Saat itu Cahaya hanya mampu menurut, terdiam dan terpana dengan tindakan anak kecil itu. Budak lelaki itu terus tersenyum sambil kedua-dua belah tangannya berpaut pada genggaman tangan Cahaya dan lelaki tadi. Cahaya terkedu namun membiarkan sahaja langkahnya menuruti mereka.
*****
"Kenapa nak? Tak selesa ke?" Umi yang bertelekung duduk di sisi Cahaya.
"Tak de la makcik. Bukan macam tu.." Bagaimana harus ku luahkan pada Umi tentang niatku?"
"Umi lihat dari tadi Cahaya mundar mandir dalam bilik. Anak sakit?"
"Tak, makcik."
"Panggil saja umi, kan lebih senang. Ya tak ya, anak ni namanya siapa?"
"Cahaya."
"Nur ke Nurul?"
"Tak...Cahaya Danisha."
"Subhanallah, cantik nama tu. Cahaya.."
Cahaya tersenyum hambar, seakan nama itu amat bertentangan dengan dirinya yang baginya sudah kehilangan cahaya. Cahaya hidup, cahaya cinta. Kedua-duanya telah hilang cahayanya.
"Eh, kalau Cahaya nak solat, telekung ada atas meja tu. Umi dah suruh Aiman letak kat situ tadi."
"Solat? Solat apa?"
"Solat maghrib? Solat lima waktu?" Soalannya tadi dijawab dengan soalan dari umi.
'Ah, yang aku tahu cuma solat lima waktu, tapi maghrib tu solat ke berapa, niat solat, malah wudhu' pun Cahaya tidak tahu.' Cahaya tunduk dan berasa dirinya dihempap soalan yang mengunci lidahnya. Keluarganya selama ini tidak menitikberatkan soal agama. Bagi mereka syahadah itu sudah cukup membuktikan mereka Islam. Cahaya dihantar ke sekolah aliran Cina. Sekolahnya tidak mewajibkan para pelajar mendekati ilmu agama secara praktikal. Cukuplah dengan menghafal teori dan dia kerap kali terkeliru dengannya. Memang sepatutnya agama itu bukannya pelajaran teori. Tetapi pelajaran yang harus hadir bersama akal dan hati. Perlu dihayati dan diamalkan.
"Umi...Cahaya tak pernah solat. Bukankah solat itu dilakukan bagi yang bersedia sahaja?"
"Masya Allah...bila agaknya Cahaya rasa bersedia untuk solat?"
"Entah...Cahaya tidak pandai solat umi. Selama ni Cahaya tidak pernah diajak ataupun disuruh solat. Tapi Cahaya tahu Cahaya orang Islam. Cahaya tahu ucap syahadah."
"Islam bukan hanya pada mengucap syahadah, tapi mengamalkan maksud disebalik syahadah tu. Tapi Umi tak salahkan kamu...sekarang ni Cahaya belajar dengan umi, ya? Kita belajar perlahan-lahan."
Cahaya menganguk dan tidak semena-mena tangisan keluar dari matanya. Umi didakapnya sebak. Di mana lagi harus aku cari insan yang tidak mempertikaikan kejahilan dalam dirinya dan terus memandangnya sebagai hamba Allah yang benar-benar memerlukan hidayah. Ya Allah...sesungguhnya semua ini mempunyai hikmah.
*****
Bacaan surah Al-Insyirah dibacanya walaupun masih tersekat-sekat. Diulangi dan dibacanya lagi secara perlahan-lahan. Sehingga ayat 5 dan 6.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
Bacaan cahaya terhenti sebentar. Mengamati makna bacaan surah Insyirah. Hatinya tiba-tiba sahaja diruntun kesedihan yang teramat. Lantas diulang ayat 5 dan ayat 6 itu diiringi tangisan kecil. Setelah itu, disudahkan bacaan dengan bacaan Al-fatihah dan selawat nabi yang diajarkan umi kepadanya. Perlahan-lahan kitab kecil itu ditutup, diangkat dan dicium ke dahi. Telekungnya bertemankan air mata pada malam itu. Ayat itu benar-benar meresap ke dalam jiwanya. Membelai hatinya yang gelisah. Lantas dia keluar dari bilik menuju ke ruang tamu.
Adam dilihat termenung memandang skrin komputer riba di hadapan sambil Aiman khusyuk membuat kerja sekolahnya. Cahaya perlahan melangkah membawa kandungan yang telah berusia empat bulan. Dia duduk di kerusi hujung. Jauh sedepa dari Adam.
"Eh, Cahaya? Tak tidur lagi ke?"
"Tak mengantuk lagi." Cahaya mencari kelibat umi. Mungkin sudah masuk tidur agaknya.
"Awak nak guna tak?"
Ujar Adam sambil menunjukkan komputer ribanya. Lantas dia memberi ruang dan duduk di kerusi sebelah Aiman. Cahaya sekadar menggeleng.
"Takpe...awak gunalah dulu, saya ke dapur buat air. Awak nak minum air Milo tak?"
"Eh, tak perlulah susah-susah. Saya boleh buat sendiri."
"Tak pe, tak susah pun, cuma letak Milo, gula dan bancuh air panas. Siap. Senang je kan?"
Cahaya tergelak kecil mendengar jawapan Adam. Aiman pula mengangkat muka memandang wajah abangnya.
"Abang...air Milo satu lagi untuk Aiman."
"Amboi! nak jugak. Baiklah Man..." Aiman tersenyum manis. Cahaya mula mengangkat tubuhnya dan duduk menghadap skrin komputer riba Adam. Kelihatan laman sosial 'Facebook' dan profil milik Adam terpampang di skrin. Satu persatu dibacanya. Adam Hafizy. Gambar anak palestin dijadikan gambar profil. Lantas matanya beralih ke status Adam.
'Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Tagaabun:11)
Indah. Terlalu indah ayat Al-Quran yang menjadi status Adam di saat itu. Hatinya terus melagukan zikir.
Sebak di dada Cahaya sehingga matanya mula digenangi titisan berkaca. Semua yang berlaku dengan izin Allah atas kelemahan dirinya. Betapa sebelum ini dia buta pada syahadah yang dilafaznya. Betapa rugi dirinya tidak mengenal 'alif ba ta' pada usia muda. Betapa malang dirinya menggadaikan cinta pada nafsu dunia.
Astaghfirullahal'azim..ampunkan hambaMu ya Allah..
"Ini air Milo untuk awak dan ini untuk Aiman. Tapi Aiman siapkan dulu kerja sekolah tu."
Air Milo panas diletakkan atas meja makan yang jauh sedikit dari ruang tamu. Adam duduk di situ sambil memerhatikan Cahaya dari jauh.
"Terima kasih, abang." Ujar Aiman sambil matanya tidak lari dari buku teks sekolah di hadapannya. Dia begitu leka menulis.
Cahaya berdiri dan duduk berhadapan dengan Adam.
"Terima kasih, awak." Suara Cahaya perlahan keluar di bibirnya. Membaca basmallah dan menghirup air Milo panas. Adam hanya tersenyum dan turut meneguk minumannya.
"Cahaya ada facebook tak?"
"Ada." Jawab Cahaya. Pendek.
"Cahaya add la saya..log out je account saya tu."
"Awak tak nak guna ke?"
"Takpe...saya memang nak biar awak guna. Takut awak bosan nanti, pergilah."
Kalau boleh biarlah Cahaya duduk sahaja di situ. Bukan apa, dia sememangnya hilang minat untuk melayari laman sosial 'Facebook'. Tapi disebabkan Adam mahu dirinya di tambah sebagai rakan, terbuka juga langkah dan niatnya untuk mengemaskini akaun profil laman sosial itu.
Sebaik sahaja log in ke akaun Cahaya berjaya, terpampang gambar dirinya dan Adi tersenyum berpegangan tangan bersama. Hatinya terasa seperti dicucuk besi panas. Sakit hatinya apabila melihat profil dihadapannya. Dengan segera dia memadam semua album lama bersama Adi, dan menukar gambar profilnya kepada apa-apa sahaja gambar simpanan Adam di komputer riba itu. Kalau gambar bunga atau gunung sekalipun dia tidak kisah. Biarlah...Asalkan bukan gambar jantan tak berhati perut itu. Setelah itu dia menghilangkan kewujudan 'jantan' itu dari senarai rakannya. Puas...
Biar sejarah itu terpadam di ingatan dan di mana-mana sahaja. Mengingatinya menambahkan lagi rasa benci di hati, menghilangkan ketenangan dalam diri. Dia mahu segera melupakan ingatan pahit yang pernah hadir dalam hidupnya.
Kali ini bibirnya mengukir senyuman. Senyuman kemenangan apadila berjaya membersihkan memori hitam daripada profilnya. Lahirlah Cahaya yang baru. Cahaya Danisha. Status...single, tag pada profilnya 'Islam is the light'.Statusnya:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(Al-Insyirah )"
Bibirnya tersenyum lagi. Surah Al-Insyirah ayat 5 dan ayat 6 itu menjadi status pada halamannya. Sungguh, dia benar-benar cintakan ayat daripada kalam suci Al-Quran. Matanya beralih sebentar melihat kelibat Adam yang duduk di meja makan, Adam begitu khusyuk dengan buku di tangannya. Entah buku tebal apakah yang dipegangnya. Lantas pandangan dialihkan pula pada Aiman yang kini sedang menikmati air Milo.Tentu kerja sekolahnya sudah siap. Terleka benar dia dengan facebook ini. Hilang mengantuk dibuatnya. Patutlah remaja sekarang aktif dengan laman sosial paling popular ini. Malah mereka menganggapnya sebagai 'open diary' hidup mereka.
Tiba-tiba, idea menjelma saat terpandang Adam tadi. Lantas jarinya menekan satu klik pada butang mesej. Jarinya ligat menekan kekunci huruf dan membentuk ayat. Mengamati sepenuh hatinya dan menekan butang 'hantar'. Sesudah itu, dia kembali ke meja makan dan duduk kembali bersama Adam dan Aiman. Bertiga.
"Abang, esok abang nak pergi pukul berapa?" Soal Aiman dan memandang ke arah Adam. Cahaya kembali menikmati minuman kegemarannya. Adam menutup buku tebal itu dan menandakan dengan sekeping kertas biru.
"Awal sikit la. Jam 8."
"Pergi mana?" Tanya Cahaya ingin tahu.
"Abang Adam balik KL. Abang kerja kat sana. Cuti sebulan abang dah habis. Dua minggu sekali baru balik kampung. Kadang-kadang, dalam sebulan tiga kali." Adam mengiyakan jawapan Aiman.
"Oh..kerja." 'Kerja apalah agaknya?' Hati Cahaya tertanya-tanya.
"Alhamdulillah, saya kerja biasa je Cahaya. Pensyarah." Ujar Adam sekali gus menjawab pertanyaan Cahaya yang tidak terlahir pada bibir.
"Alhamdulillah..baguslah tu awak. Tak macam saya,belajar sampai ijazah pun masih tak ada kerja. Selama ni terlalu berharap sangat dengan family."
"Wah..takpe la, InsyaAllah...awak akan dapat kerja yang baik Cahaya. Dulu awak ambil bidang apa?"
"Lebih kepada business."
"Nabi kita kata, 9/10 rezeki datang daripada perniagaan."
"Insya Allah, kalau cukup modal lebih baik buka perniagaan sendiri. Dapatlah berikan kehidupan yang baik buat anak-anak nanti."
"Ya. InsyaAllah. Eh,awak dah tak nak guna ke?" Adam menuding jari ke arah komputer ribanya.
"Takpelah..lagipun saya nak berehat."
"Baiklah...Aiman, kamu pun dah boleh masuk tidur, jangan lupa ambil wudhu sebelum tidur."
Mata Aiman kecil sedikit. Mengantuk. Cahaya pula berdiri dan mengangkat cawan-cawan kosong untuk dicuci. Itulah kebiasaan anak-anak umi. Berwudhu' sebelum tidur. Pesanan umi itu turut disemai dalam hatinya. Kata umi, selain membersihkan diri, wudhu' juga boleh membersihkan jiwa. Ketenangan akan terasa semasa tidur, kita akan sentiasa mengingati Allah dan mudah untuk memujinya. Dapatlah menghindari tidur dengan hati yang lalai.
"Cahaya, takpe...biar saya yang buat. Awak pergilah berehat." Adam mengambil kesemua cawan yang diangkat Cahaya tadi dan terus menuju ke dapur. Cahaya terkaku sebentar.
'Semoga Allah merahmatimu Adam, kau terlalu baik dengan insan jahil seperti aku'. bisik hati Cahaya lalu melangkah masuk ke dalam kamar.
*****
Sunyi.
Adam kembali pada komputer ribanya. Dia masuk ke halaman facebook miliknya. Tertera satu 'permintaan menjadi rakan' dan satu mesej. Dia terlebih dahulu menekan butang bersetuju meneriman Cahaya Danisha menjadi rakan. Jarinya membuka profil Cahaya Danisha. Cantik namanya, puji naluri Adam. Bibirnya tersenyum panjang saat melihat gambar profil Cahaya yang merupakan gambar 'bunga teratai' yang tentunya dimuat turun dari fail 'my pictures' yang terdapat di dalamkomputer ribanya. Tentu dia menukar gambar profilnya tadi. Lantas dia memberikan cadangan gambar anak perempuan palestin berhijab sambil tangannya memegang senjata sebagai ganti gambar teratai yang agak umum itu. Dia teringat kembali peti masuknya. Dia membuka mesej yang datang dari...
Cahaya? Dia menoleh ke arah meja makan, melihat tempat dimana Cahaya duduk tadi. Ah, kenapa dia tidak bersuara sahaja, tidak perlulah menghantar mesej! Matanya kembali menatap mesej ringkas itu.
Assalamualaikum,
Benar, betapa kejahilan yang mendalam menyelubungi saya pada masa itu. Kalau bukan kerana Allah utuskan awak menyelamatkan pendosa yang hina ini,tenggelam dan lemas dalam nafsu dunia, tak mungkin saya masih bernyawa sehingga ke hari ini. Mulanya saya sememangnya tidak lagi redha atas kewujudan bayi ini, tapi Alhamdulillah... Syahadah jugalah yang menyelamatkan saya. InsyaAllah, walau apapun berlaku, saya akan tetap menyayangi anak yang akan lahir dari rahim ni. InsyaAllah... Saya yakin akan apa jua yang berlaku semuanya mempunyai hikmah. Kehidupanlah yang mengajar dan yang tersasar akan diberi pengajaran agar tetap pada jalanNya.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga awak. Tentu umi sangat bangga mendapat anak sebaik Adam dan Aiman. Doakan saya supaya terus membuat kebahagiaan dunia akhirat. Sekali lagi saya memohon maaf atas kejahilan saya.
(Malah bilik awak pun dah diceroboh orang asing seperti saya. Saya minta maaf banyak-banyak.)
Adam mengetap bibir. Sedikit pun tidak ada kesalahan yang dilakukan Cahaya padanya. Malah dia tidak memandang Cahaya pada masa lalunya, tetapi dia melihat Cahaya itu pada ketabahannya meneruskan kehidupan. Pada cintanya yang mengejar Cinta Illahi. Pada rindunya yang bersinar saat melagukan zikir dan selawat. Ketenangan yang tetap dirasai pada sesiapa sahaja yang memandang Cahaya. Teduh wajah Cahaya disirami sopan bicaranya. Jauh berbeza dengan Cahaya yang ditemuinya di pantai sebulan lalu. Subhanallah, sesungguhnya kuasa Allah tiada batasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Gadis yang mahu membunuh diri dan jiwanya itu kini amat menyintai tarbiyah daripada Allah.
*****
Terdapat dua mesej tertera di Facebooknya. Satu daripada sahabat lamanya, Dayana dan satu lagi tentu balasan mesej daripada Adam. Dia menukar gambar profilnya kepada gambar anak palestin yang dicadangkan oleh Adam. Cantik dan sayu. Tapi Cahaya suka dengan gambar barunya.
Email yang lain dibiarkannya. Mesej dari Dayana dibuka dan dibaca teliti.
Cahaya membalas mesej dari Dayana. Entah kenapa, tidak terbit langsung rasa benci dalam hatinya di saat mengetahui Nadia menggantikan tempatnya sebagai kekasih Adi. Malah, dia memanjatkan rasa syukur yang teramat kerana terlepas dari 'buaya darat' itu, walaupun sepatutnya Adi bertanggungjawab dengan anak yang dikandungnya. Tetapi kini, harapan itu telah lama terkubur. Biarlah, dia lebih rela membesarkan anak ini sendirian. Selesai menghantar balasan, Cahaya segera membuka mesej dari Adam.
Cahaya...Saya sangat suka dengan nama awak yang unik. Sepanjang mana pun sebutan 'cahaya' tapi saya suka. Eh, dah lari tajuk pula, hihi.. Tentang kejadian di pantai dulu, semuanya berlaku atas izin Allah. Tidak tersimpan sedikit marah atau dendam pun tentang awak. Tiada apa yang perlu dimaafkan. Awak pun sedikit sebanyak mengajar saya tentang kehidupan. Ketabahan awak sukar ditemui.
Cahaya...Terjaga dari tidur tidak sama dengan terjaga dari mimpi. Jika terjaga dari tidur, kita akan bangun dan tidak merasakan sesuatu seperti terjaga dari mimpi. Kita seakan dikejutkan dan diminta bermuhasabah diri. Andai mimpi itu mimpi buruk, kita pasti beristighfar dan mencari nilainya yang positif. Andai terjaga dari mimpi indah kita akan bersyukur dan berharap tidak akan terleka darinya. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah... Dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Bersabar dan pasti kita akan menemui ganjarannya.
Cahaya...untuk pengetahuan awak. Kehadiran awak di rumah serba sederhana dan penerimaan awak pada kesederhanaan itu cukup bermakna buat kami. Sedikit sebanyak kehadiran Cahaya memberi nafas baru buat kami. Malah umi selalu memuji Cahaya pada Adam. Kesungguhan awak mendekati ilmu agama benar-benar dikaguminya. Lihat sahaja diluar sana, berapa orang yang akan bangkit selepas dilanda musibah dan ujian dari Allah? Malah terlalu sedikit yang mahu bersyukur dan kembali ke jalan yang benar. Sedangkan pintu taubat masih terbuka, kemaafan Allah lebih besar dari segala dosa di muka bumi. Subhanallah..
Cahaya tersenyum dan tertawa dalam tangisan. Sempat juga Adam ingat tentang 'air Milo' minuman kegemarannya.
Adam...Adam...Tanpa kehadiran awak di rumah ni pun awak masih mampu membuat Cahaya tersenyum. 'Hebat betul aura awak Adam!'
Cahaya bergegas bangun dan menuju ke ruang kamar, terasa ingin tahu yang membuak-buak di dadanya. Buku apakah yang ditinggalkan Adam buatnya? Pandangan tertumpu pada buku itu. Buku tebal?
Ya...buku tebal yang berwarna biru. Buku yang dibaca oleh Adam semalam, baru kini dia melihatnya dengan jelas judul bukunya. 'La Tahzan' Jangan bersedih. Buku yang benar-benar menarik hati. Diselaknya perlahan. Tertera sedikit tulisan tangan dari Adam.
Cahaya terharu. Dipeluk buku itu ke dadanya. Hatinya benar-benar terusik. Titisan jernih mengalir lagi.
"Alhamdulillah..Alhamdulillah...Allah bersamaku." Sebutnya dalam sebak.
*****
Aku Cuma An-Nisaa
Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..
Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..
Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada
Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.
Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah
Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..
Ya Allah...
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah
Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..
Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.
Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan
Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!
Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..
*****
"Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, sesuatu yang baik belum tentu berakhir dengan baik. Begitu juga sesuatu yang buruk belum tentu berakhir dengan derita. Apa yang penting ialah tanamkan cinta pada Allah, pada jalanNya. Keyakinan pada Allah harus melebihi daripada keyakinan kita pada diri sendiri, malah pada orang lain. Memanglah mudah untuk kita berkata dan payah untuk melakukan. Memanglah mudah untuk jatuh rebah dan susah untuk bangun kembali. Memanglah mudah untuk berbuat amal tetapi payah pada istiqamah.InsyaAllah, semuanya terletak pada kekuatan hati yang turut dipandu oleh akal kita. Akal yang bertunjangkan iman dan ilmu. Kita sering berbicara tentang taubat dan bila masa sesuai untuk dilakukan. Seandainya rasa cinta itu wujud, pasti akan ada jiwa hamba yang rindu beramal dengan Maha pencipta. Lihat sahaja pada nadi, selagi nadi berdenyut, selagi nafas menghembus, pintu taubat masih terbuka buat hambaNya. Tetapi kesombongan kita yang membawa kita malu untuk bertaubat pada hari ini. Keegoan kita yang menarik kita untuk bertangguh pada hari esok, kejahilan kita yang membuat kita berfikir akan selalunya ada hari esok. Seandainya dosa itu dapat dilihat, pasti kita dipenuhi dengan noda. Seandainya pahala itu dapat dilihat, pasti diri dikabus dengan riak. Para pencinta Illahi itu pemalu, malu menzalimi diri yang hanya pinjaman dari Nya. Para pencinta jihad fisabilillah itu penakut, penakut pada mati tanpa berjuang menegakkan agama Allah. Para pejuang syahid itu pengecut, pengecut kepada mati tanpa mengingati Allah."
Panjang bicara Cahaya pada petang itu sempena undangan sahabat baiknya, Damia. Pertemuan di atas takdir Allah telah menyatukan minat mereka untuk bersatu dalam jihad.
Cahaya turut menguruskan butik dan kadangkala meluangkan masa untuk hobinya yang minat dalam bidang penulisan. Sebuah novel bertajuk 'Nafas cinta Insyirah' berjaya diterbitkan dengan izin Allah dan diedarkan secara percuma kepada penghuni Rumah Annisa. Malah hasil keuntungannya akan diberikan separuh kepada rumah perlindungan Annisa. Terbit kukuh di dalam hatinya, jihad untuk memperbaiki diri sendiri dan jihad untuk memperjuangkan jalan mencari cinta Allah.
Insyirah... Cinta kali pertamanya pada kalamullah surah Insyirah dan kemudian dipilih sebagai nama anak perempuannya. Adam yang duduk di hujung dewan setia menanti isterinya selesai sesi usrah dengan penghuni rumah kedua mereka, Baitul Annisa.
"Bantu-membantu lah antara kamu atas urusan kebaikan dan taqwa, dan jangan lah pula kamu bersubahat membantu dalam urusan dosa, keji dan permusuhan.(Al-Maidah : 2)
Dan Saidina Ali bin Abu Talib pula pernah berkata :
"Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat & tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Di kala yang lain pula ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat,tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah & menyesal lebih dari perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takbur & angkuh. (Ibnu Athaillah)..
Sekalung jutaan kesyukuran, Alhamdulillah..buat suami tercinta Adam Hafizy dan anak tersayang, Insyirah serta umi dan keluarga. Papa dan Mama yang sentiasa mekar dalam doa."
Ucap Cahaya sebelum menutup usrah pada petang itu dengan bacaan doa dan selawat sambil matanya mengerling dan tersenyum memandang anak dan suaminya dari jauh.
source: http://www.iluvislam.com/karya/cerpen/1083-nafas-cinta-insyirah.html
0 comments:
Post a Comment